PIPOC 2025: Sisa sawit jadi pemangkin inovasi masa depan

KONGRES dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2025 (PIPOC 2025) menonjolkan fokus utama terhadap inovasi dan kemampanan dalam industri sawit negara apabila penyelidik menegaskan bahawa hasil sampingan sawit bukan lagi dianggap bahan buangan, sebaliknya peluang besar menjana produk bernilai tinggi.

Pakar akademik dan penyelidik, Prof Dr Mohamed Kheireddine Aroua berkata, pelbagai hasil sampingan seperti glycerol, oleokimia dan sisa lain daripada pemprosesan sawit sebenarnya mempunyai potensi luas dalam sektor kesihatan, tenaga dan penyelesaian alam sekitar.

“Hasil sampingan bukanlah sisa, tetapi peluang. Glycerol, oleokimia dan bahan lain daripada proses sawit boleh ditukar kepada produk kesihatan, tenaga dan penyelesaian alam sekitar. Kita baru sentuh permukaannya sahaja,” katanya ketika bercakap pada kongres berkenaan.

Beliau turut merakam penghargaan kepada para penyelidik MPOB yang sekian lama bekerjasama dalam memperluas kajian berkaitan, sambil menjelaskan bahawa glycerol sawit berpotensi digunakan dalam formulasi penjagaan kulit dan aplikasi kesihatan, manakala oleokimia pula mampu memenuhi keperluan pelbagai industri termasuk farmaseutikal dan rawatan alam sekitar.

Kheireddine menegaskan bahawa, pokok sawit juga memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon semula jadi yang mampu mengurangkan pelepasan karbon di atmosfera.

“Pokok sawit matang menyerap CO₂ dalam jumlah signifikan. Ia bukan sahaja tanaman pengeluar minyak yang efisien tetapi juga ‘carbon sink’ semula jadi,” katanya.

Beliau yang turut menjalankan penyelidikan meluas dalam teknologi penangkapan karbon berkata hasil sampingan sawit mampu menyokong inovasi tenaga baharu, termasuk penghasilan karbon teraktif untuk rawatan air dan penambahbaikan proses penangkapan CO₂.

“Hasil sampingan sawit mampu membantu kita menangani pemanasan global. Ia mengenai mengintegrasikan kelestarian dengan aplikasi industri,” katanya.

Selain penyelidikan, Khaireddine turut menggerakkan usaha aplikasi industri termasuk kerjasama dengan Sime Darby di Batu Enam menggunakan teknologi membran untuk memulihkan sisa getah sehingga membawa kepada beberapa paten baharu.

Bersama MPOB, beliau juga melaksanakan pelbagai projek sambil membimbing pelajar tempatan demi membentuk generasi baharu saintis sawit.

“Penyelidikan mesti memenuhi keperluan industri. Tidak cukup hanya mengkaji secara akademik, ia perlu memberi impak sebenar,” katanya.

Katanya, beliau kini menggunakan teknologi dron dan pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, mengurangkan penggunaan sumber dan mengoptimumkan hasil tanaman.

“Pemantauan menggunakan dron membantu kita mengoptimumkan pengeluaran sambil mengurangkan penggunaan sumber. Pendekatan ini holistik daripada pokok, ke hasil sampingan hingga ke aplikasi akhir,” jelasnya.

Melihat masa depan industri sawit, Kheireddine yakin sektor itu mampu bergerak ke arah ekonomi kitaran sepenuhnya, dengan setiap residu diberi nilai tambah dan setiap inovasi dipacu teknologi.

“Masa depan sawit adalah kitaran. Setiap sisa ada potensinya. Setiap pokok adalah aset,” katanya.

Menurutnya, kelestarian industri sawit bermula dengan kemampuan melihat nilai dalam setiap komponen tanaman itu.

“Sawit lebih daripada komoditi. Ia platform inovasi, penyelesaian alam sekitar dan pembangunan ekonomi. Cabarannya ialah membuka potensi itu secara bertanggungjawab, bijak dan saintifik,” ujarnya.

Related Posts

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui beberapa kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, termasuk perjanjian hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan yang dijangka dimeterai pada 19…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anjung Selera dan Inap Desa PNK Kabong bakal jadi pemangkin ekonomi komuniti

KABONG – Projek pembinaan baharu Anjung Selera dan Inap Desa Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuhkan sektor pelancongan berasaskan komuniti di kawasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Flat didakwa penempatan Rohingya di Sungai Tekali mula diroboh

Flat didakwa penempatan Rohingya di Sungai Tekali mula diroboh

UNIMAP terima hampir 2,000 pelajar diploma, 649 daripada keluarga B40

UNIMAP terima hampir 2,000 pelajar diploma, 649 daripada keluarga B40

PRN Johor, Negeri Sembilan: AMK harap lebih ramai calon muda diberi peluang bertanding

PRN Johor, Negeri Sembilan: AMK harap lebih ramai calon muda diberi peluang bertanding

Bekalan tenaga kini cabaran besar dunia – PMX

Bekalan tenaga kini cabaran besar dunia – PMX

Anwar tegaskan keutamaan pembangunan Sabah termasuk daerah terpencil

Anwar tegaskan keutamaan pembangunan Sabah termasuk daerah terpencil

Platform media sosial perlu bertindak pantas kekang berita palsu menjelang PRN – Fahmi

Platform media sosial perlu bertindak pantas kekang berita palsu menjelang PRN – Fahmi