
KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi menerima pelaburan bernilai AS$15 bilion (kira-kira RM61 bilion) susulan minat yang ditunjukkan sekumpulan pelabur China untuk meneroka peluang perniagaan dalam enam sektor utama negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, hasrat pelaburan itu disuarakan susulan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan 58 ahli perniagaan dari China pada 2 November lalu.
Menurutnya, pelaburan yang dicadangkan tertumpu kepada sektor bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.
“Termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, bahan industri khusus dan kejuruteraan berketepatan, ekonomi digital dan infrastruktur teknologi.
“Selin itu, pemprosesan makanan dan produk halal, teknologi kesihatan dan farmaseutikal serta pelancongan,” katanya.
Choon Man berkata, beliau turut mengadakan jamuan tengah hari dan sesi jaringan bersama Naib Presiden All-China Federation of Industry and Commerce (ACFIC), Pansy Ho serta delegasi perniagaan China bagi membincangkan peluang memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan.
Pansy Ho juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Shun Tak Holdings.
Menurutnya, perbincangan itu merangkumi usaha menarik lebih ramai pelancong dari China, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran mesyuarat, persidangan dan pameran antarabangsa.
“China kekal sebagai pasaran pelancongan penting bagi Malaysia. Membina hubungan ini bermakna menterjemahkan idea bersama kepada kerjasama bermakna yang memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia turut membincangkan potensi untuk menjadi rakan kerjasama bagi salah satu forum utama China.
Menurutnya, kedudukan strategik Malaysia dalam ASEAN serta kepelbagaian budaya dan bahasa memberikan kelebihan kepada negara untuk terus berkembang sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan.
Choon Man berharap lawatan delegasi ACFIC dapat membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang yang mampu membawa lebih ramai pelawat, menarik aktiviti perniagaan serta mewujudkan peluang ekonomi kepada negara.

