
MUKAH – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tellian mula memperkemas jentera parti di peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) Sarawak akan datang menerusi pemantapan strategi serta pembentangan laporan prestasi perkhidmatan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, Royston Valentine berkata, komitmen berkenaan diperincikan dalam Mesyuarat PBB Cawangan N.57 Tellian yang berlangsung lebih empat jam di Kingwood Hotel Mukah pada pagi Sabtu.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menegaskan, perjumpaan terbabit memberi fokus menyeluruh kepada penilaian situasi semasa politik negeri, DUN Tellian, dan Parlimen Mukah di samping membentangkan laporan penuh pencapaian sepanjang penggal 2022 hingga 2026.

“Mesyuarat membentangkan laporan pelaksanaan inisiatif sepanjang lima tahun lalu merangkumi Projek Rakyat, Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Rancangan Malaysia (RMK), Dana Alternatif (Alternative Funding), Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), serta Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
“Kita turut membentangkan laporan aktiviti Biro Pendidikan Mukah serta rumusan program yang telah didekati bersama rakyat dalam tempoh perkhidmatan penggal ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Royston menjelaskan, persiapan jentera pilihan raya PBB Tellian turut digerakkan secara berfokus melalui taklimat teknikal melibatkan ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (Polling Agent and Counting Agent – PACA).
Selain itu, satu analisis pembentangan kajian serta perbandingan data statistik keputusan PRN12 (2021) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) peringkat Parlimen diperhalusi bagi memetakan gerak kerja pengundi yang lebih bersasar.
Mesyuarat berkenaan turut meneliti pembentangan laporan aktiviti daripada ketiga-tiga sayap parti iaitu Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita, serta Sayap Belia PBB N.57 Tellian.
Royston turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan Cawangan Bapa dan sayap-sayap parti atas dedikasi serta kerja keras yang konsisten dalam memperkukuh sokongan parti di kawasan Tellian.



