
SEOUL – Penganjuran Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi pertukaran budaya, pelancongan serta kerjasama strategik kedua-dua negara.
Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata, acara berkenaan bukan sekadar sebuah perayaan, sebaliknya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat, budaya dan aspirasi bersama membabitkan dua negara.
Beliau berkata, selaras dengan kempen Melawat Malaysia 2026-2027, penganjuran MFIS 2026 membawa kehangatan layanan mesra rakyat Malaysia, keunikan tradisi serta kekayaan warisan budaya negara ke tengah-tengah bandar Seoul.
“Budaya dan pelancongan kekal sebagai antara medium penting yang membolehkan masyarakat kedua-dua negara saling mengenali, memahami serta membina persahabatan berkekalan.
“Menerusi platform seperti Malaysia Fair, kita berharap dapat memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat, menggalakkan pertukaran budaya serta memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Korea untuk menerokai keindahan, kepelbagaian dan pengalaman unik yang ditawarkan Malaysia.
“Pada masa sama, kita juga berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati kekayaan budaya, warisan dan kemeriahan Republik Korea,” katanya ketika berucap sempena perasmian penganjuran MFIS 2026, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Zamruni berharap festival itu dapat merapatkan hubungan masyarakat kedua-dua negara, mencipta kenangan bermakna serta membuka lebih banyak peluang kerjasama merentasi sempadan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Fazbuzz Events and Media Sdn Bhd, Fazura Azima Ag Sha berkata, antara objektif utama penganjuran MFIS 2026 adalah untuk meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, memperluas pasaran produk dan jenama tempatan di Korea Selatan serta mengukuhkan hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam sektor perdagangan, pendidikan dan industri kreatif.
Menurutnya, Korea Selatan merupakan antara pasaran pelancongan antarabangsa terbesar dan paling pesat berkembang bagi Malaysia, manakala Seoul dipilih kerana menjadi pusat ekonomi serta lokasi ibu pejabat konglomerat global terbesar negara itu, sekali gus strategik untuk menjalin kerjasama perniagaan (B2B) pelbagai sektor.
“Selain itu, kemudahan pelbagai rangkaian penerbangan terus yang kukuh ke hab utama Malaysia termasuk penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Sabah.
“Justeru kita penyertaan pemain industri merangkumi pelbagai sektor termasuklah pelancongan, pendidikan, teknologi, produk pertanian, makanan dan minuman, kesihatan, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri kreatif dalam penganjuran MFIS 2026.
“Tahun ini diyakini mampu memberikan manfaat sebagai platform mempromosikan produk, perkhidmatan dan destinasi tempatan kepada rakyat Korea Selatan,” kongsinya.
Untuk rekod, sepanjang festival berlangsung selama dua hari sehingga esok, pelbagai keistimewaan Malaysia diketengahkan merangkumi sajian warisan, seni kreatif, kraftangan tradisional, permainan, fesyen, persembahan pentas, kerjasama perniagaan strategik serta jenama tempatan.
Pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan, muzik dan artis tempatan termasuk kumpulan Korea, Kiiras serta penyanyi kelahiran Sabah, Elica Paujin, selain berpeluang menerokai ruang pameran yang disediakan.
Turut hadir, Presiden Persatuan Kebudayaan Korea, Samuel Chung.


