
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus untuk kali kesembilan berturut-turut sejak Julai 2025.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam mesyuarat dengan pendirian dasar monetari semasa disifatkan masih sesuai bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan kestabilan harga.
“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan keadaan ekonomi dan menilai implikasinya terhadap keseimbangan risiko yang mempengaruhi prospek inflasi serta pertumbuhan domestik,” menurut kenyataan Dasar Monetari BNM pada Khamis.
Mengulas prestasi ekonomi, BNM berkata petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan negara kekal kukuh pada suku ketiga 2026, disokong prestasi eksport yang memberangsangkan serta permintaan domestik yang mampan.
Momentum itu dijangka membolehkan ekonomi Malaysia berkembang melebihi lima peratus tahun ini, manakala asas ekonomi yang teguh dijangka terus menyokong daya tahan pertumbuhan pada 2027.
Menurutnya, sektor luaran dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan tahun depan, didorong kitaran peningkatan teknologi global yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang kukuh.

Selain itu, keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan berterusan dijangka menyokong permintaan domestik, manakala langkah di bawah Belanjawan 2027 akan memberikan rangsangan tambahan kepada penggunaan swasta.
Bagaimanapun, prospek pertumbuhan masih berdepan risiko penurunan, khususnya sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan pengeluaran komoditi merosot.
Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan eksport berkaitan teknologi yang lebih kukuh serta peningkatan aktiviti pelancongan berpotensi meningkatkan pertumbuhan negara.
Mengenai inflasi, BNM memaklumkan kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.8 peratus dan 1.9 peratus bagi tempoh tahun ini setakat ini.
Memasuki 2027, perkembangan geopolitik, peningkatan harga komoditi global serta keadaan cuaca buruk dijangka memberikan tekanan menaik terhadap inflasi.
Bagaimanapun, kedua-dua kadar inflasi itu dijangka meningkat secara sederhana dan kekal terkawal, disokong langkah dasar domestik berterusan serta keadaan permintaan yang stabil.
Di peringkat global, pertumbuhan ekonomi terus menunjukkan daya tahan hasil sokongan pelaburan teknologi yang kukuh dan pasaran buruh stabil, meskipun inflasi meningkat susulan kos tenaga lebih tinggi.
BNM berkata, ketegangan geopolitik berpanjangan, keadaan kewangan global lebih ketat, kebimbangan terhadap penilaian pasaran kewangan serta kelemahan fiskal kekal sebagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

