
MIRI – Kawasan Baram berpotensi berkembang sebagai kawasan pinggir bandar Miri susulan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur yang bakal meningkatkan ketersambungan serta merancakkan kegiatan ekonomi wilayah berkenaan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan rangkaian jalan raya termasuk laluan Miri-Marudi, projek Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (3M 2L) dan sambungan jalan Pan-Baram akan menyediakan akses lebih baik ke kawasan pedalaman.
Menurut beliau, jaringan jalan raya sepanjang lebih 140 kilometer itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah berpotensi merangsang pertumbuhan sektor perdagangan dan pelancongan.
“Pembangunan berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan kawasan pedalaman turut menikmati limpahan kemajuan ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak (FORUM), pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Miri turut membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan, khususnya menerusi kemudahan yang membolehkan kapal persiaran berskala besar berlabuh di utara Sarawak.
“Kemudahan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada sektor pelancongan dan memberi manfaat kepada kawasan sekitar termasuk Baram yang mempunyai tarikan kebudayaan serta warisan masyarakat Orang Ulu,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai Padang Kerbau dinamakan semula sebagai Kerbau Jaya, selaras dengan perancangan pembangunan pusat komersial, hospital dan kawasan perumahan baharu.
Beliau turut menggalakkan masyarakat pedalaman menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi moden menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), pertanian berteknologi tinggi dan ekonomi tenaga hijau.
“Masyarakat setempat perlu mengambil peluang daripada pembangunan yang dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing serta memastikan mereka turut terlibat dalam pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.


