
MIRI – Pusat Kebudayaan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak bukan sahaja menjadi lambang perpaduan masyarakat Orang Ulu, malah berperanan sebagai wadah memperkukuh hubungan komuniti serta memelihara identiti budaya etnik berkenaan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan masyarakat Orang Ulu merealisasikan pembangunan pusat kebudayaan itu mencerminkan semangat kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan komuniti.
Menurut beliau, reka bentuk dan fungsi bangunan berkenaan amat mengagumkan kerana bukan sahaja menjadi tempat perhimpunan masyarakat Orang Ulu, malah berpotensi berfungsi sebagai hab aktiviti pelbagai kaum serta pusat pertemuan serantau.
“Kedudukan pusat kebudayaan ini amat strategik kerana terletak di laluan utama yang menghubungkan Miri dengan Baram serta kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak (FORUM) di Miri, pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menegaskan bahawa pelaburan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri mengambil kira kepentingan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.
“Kita melabur berbilion ringgit bukan sahaja melihat kepada pulangan pelaburan jangka pendek, tetapi untuk jangka panjang. Rumah ini adalah lambang bahawa Orang Ulu akan sentiasa bersama dalam perubahan pesat yang berlaku di Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pembangunan modal insan bagi memastikan masyarakat tempatan turut berpeluang mengambil bahagian dalam arus pembangunan negeri.
Sehubungan itu, inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak yang bermula pada 2026 membuka lebih banyak peluang kepada anak negeri untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti dan kolej, tertakluk kepada syarat kelayakan serta pengiktirafan kursus.

Menurutnya, pelaburan dalam bidang pendidikan penting bagi melahirkan generasi berkemahiran dan berpengetahuan yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Beliau berkata, kemajuan Sarawak perlu terus dipacu menerusi perpaduan rakyat dan pengurusan kewangan yang mampan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.



