
MELAKA – Kerajaan belum mengeluarkan sebarang arahan kepada orang ramai supaya menyimpan bekalan makanan bagi tempoh 72 jam seperti disarankan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik, sebaliknya meneruskan urusan pembelian barangan keperluan harian seperti biasa.
“Memang kita akui risau dengan situasi semasa termasuk ancaman siber, tetapi kita belum sampai ke peringkat untuk mengeluarkan arahan supaya rakyat menyimpan bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Semarak Tani Jualan Agro MADANI di Bukit Katil, di sini, hari ini.
Semalam, FOMCA menyarankan pengguna menyediakan stok makanan dan barangan keperluan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik global dan bencana alam.
Mengulas lanjut, Mohamad memberi jaminan bekalan beras negara ketika ini mencukupi untuk menampung keperluan selama enam bulan dan jumlah itu akan terus ditambah.
“Bekalan ikan sejuk beku juga dijamin cukup untuk lapan bulan akan datang. Jadi tidak perlu pembelian berlebihan.
“Tindakan membeli barangan dalam kuantiti berlebihan hanya akan mencetuskan masalah dan menyukarkan pengguna lain untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa memantau serta menilai keadaan semasa, termasuk mendapatkan kerjasama universiti dan penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubahan iklim.
Sebagai persediaan awal, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama peniaga swasta yang memiliki kemudahan penyimpanan sejuk beku turut diminta memastikan bekalan ikan, khususnya kategori ‘ikan rakyat’ yang mendapat permintaan tinggi, sentiasa tersedia.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan menyasarkan pelaksanaan 5,000 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara berbanding 3,400 program yang telah diadakan setakat ini.
Beliau berkata, program berkenaan membolehkan pengguna mendapatkan barangan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup terutama penduduk di kawasan kampung dan bandar kecil.
“Kita tidak boleh buat program seperti ini setiap hari kerana kedai-kedai runcit setempat juga perlu berniaga. Jadi, kita adakan secara mingguan untuk memberi peluang rakyat berjimat, pada masa sama menjaga kelangsungan peniaga tempatan,” katanya.


