
KUALA LUMPUR – Kehadiran petugas media mula kelihatan di sekitar kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, susulan jangkaan pembayaran denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Sehingga 2 petang tadi, lebih 10 petugas media berkumpul di tepi jalan berhampiran kediaman berkenaan bagi mengikuti perkembangan terkini.
Suasana di sekitar kediaman itu masih tenang tanpa sebarang pergerakan luar biasa atau kawalan khas polis, manakala tiada kehadiran penyokong secara berkumpulan dikesan sepanjang tinjauan dilakukan.

Terdahulu, media melaporkan wakil Najib dijangka membuat pembayaran denda RM50 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang arahan daripada anak guamnya untuk menjelaskan denda berkenaan.
Beliau turut mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai status pembayaran itu, termasuk kemungkinan ia dijelaskan oleh pihak ketiga.
Setakat ini, masih belum ada pengesahan sama ada pembayaran denda berkenaan akan dibuat hari ini atau tarikh sebenar ia akan diselesaikan.
Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

