
MIRI – Sri Aman Development Agency (SADA) telah mengadakan lawatan kerja strategik ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Miri dan Ning Planters Miri bagi memperkukuh perancangan pembangunan sektor pertanian di Bahagian Sri Aman.
Lawatan yang berlangsung pada 5 November 2026 ini diketuai oleh Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sekadar platform untuk meninjau pelaksanaan serta pengurusan projek pertanian secara langsung, malah bertujuan memberi pendedahan kepada ketua-ketua masyarakat untuk menimba ilmu dan idea baharu.
Pengetahuan yang diraih di lokasi lawatan diharap dapat dibawa pulang untuk dikongsikan bersama komuniti setempat dalam mengenal pasti potensi ekonomi baharu di kawasan masing-masing.

Menerusi siri lawatan ke TKPM Miri, delegasi didedahkan kepada kaedah pengeluaran hasil makanan yang terancang dan berterusan, manakala lawatan ke Ning Planters Miri membolehkan pihak delegasi meninjau pendekatan pengurusan pertanian komersial yang dilaksanakan oleh pihak syarikat.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha ini selaras dengan hala tuju pembangunan agensi tersebut di bawah Fasa 2 yang memfokuskan kepada sektor pertanian dan pelancongan.
Langkah ini juga menyokong penuh aspirasi Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) dalam memacu pertumbuhan ekonomi menerusi sektor utama seperti pertanian bagi meningkatkan produktiviti, menjamin bekalan makanan, serta menjana pendapatan masyarakat setempat.



