
PUTRAJAYA – Tiga tokoh seni tradisional Sarawak menerima pengiktirafan Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) sempena Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2026, pada Khamis.
Antara tiga tokoh tersebut ialah Razali Yu dalam bidang seni persembahan Gendang Melayu Sarawak, Salbiah Muhi bagi seni Sulaman Keringkam serta Bangie Embol dalam bidang Tenunan Pua.
Pengiktirafan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan memelihara seni dan budaya tradisional serta menghargai sumbangan tokoh yang memainkan peranan penting dalam memastikan warisan tersebut terus diwarisi generasi muda.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, sebanyak 39 daripada keseluruhan 69 butiran warisan telah diisytiharkan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurutnya, pengisytiharan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) merangkumi pelbagai kategori, termasuk warisan ketara, warisan tidak ketara dan pengiktirafan WAKOH.
Beliau berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar pemberian gelaran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab memelihara khazanah sejarah dan budaya negara.
Choon Man turut menekankan kepentingan melindungi keaslian warisan budaya, di samping memperkukuh potensinya sebagai tarikan pelancongan.
Menurutnya, pelancongan berasaskan warisan budaya berupaya membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni, pengusaha kraf dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, sebanyak 30 lagi butiran warisan dijadualkan menyusul dalam proses pewartaan, termasuk Perayaan Hari Gawai, Tadau Kaamatan dan Budaya Sarapan Malaysia.
Pengiktirafan warisan tersebut turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat dalam memastikan khazanah budaya negara terus dipelihara.



