BUKIT RAMBAI – Sikap serta kelantangan melontarkan ketidakpuasan dengan tindakan pendakwaan bukan alasan untuk terus menuding jari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seolah-olah memiliki kuasa menentukan siapa perlu diheret ke mahkamah.
Anwar berkata, rakyat tidak seharusnya terus terperangkap dalam polemik dan sentimen dendam berhubung tindakan pendakwaan terhadap individu tertentu, sebaliknya memahami proses undang-undang yang perlu dilalui.
Menurut beliau, tindakan siasatan dan pendakwaan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya kerana ia membabitkan beberapa institusi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.
“Jangan berpuluh-puluh tahun orang kita hanya berdendam dengan mengatakan seseorang yang didakwa itu tidak bersalah. Saya nak tanya, dakwaan siapa yang tidak salah? Beritahu.
“Bukan saya yang dakwa. Polis siasat, SPRM yang dakwa, peguam negara yang membuat keputusan dan hakim yang mengesahkan. Ini yang menjadi kacau,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi MADANI kawasan Klebang, Taman Bukit Rambai, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, budaya sentimen dendam setiap kali tindakan pendakwaan membabitkan individu tertentu dibangkitkan harus dihentikan daripada membelenggu masyarakat awam.
“Sampai bila kita nak jadi begini? Negara sedang baik, aman, ekonomi tengah naik, jangan kacau. Jadi beginilah saya minta kawan-kawan di Melaka ni, betul dalam PKR, dalam Pakatan Harapan, kita berkawan, kita bekerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pihaknya mahu kepemimpinan Melayu dan Islam di negara ini menjadi contoh terbaik menerusi integriti, keprihatinan serta komitmen membela nasib rakyat, bukannya dibayangi amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata, Malaysia tidak perlu mencontohi Amerika Syarikat (AS) sebaliknya perlu membina identiti tersendiri sebagai sebuah negara makmur yang menjunjung nilai keadilan, menolak perkauman dan penindasan agama.
Menurutnya, Malaysia mempunyai tokoh dan pemimpin Melayu yang masih berpegang kepada prinsip serta mampu membawa perubahan positif kepada negara.
“Usah setengah-setengah orang ini terlalu perasan. Kita tidak mahu jadi Amerika. Tanya saya, saya tidak mahu jadi Amerika. Saya nak jadi Malaysia yang makmur.
“Saya nak orang Melayu dan orang Islam ini menjadi contoh yang baik. Pemimpin Melayu yang tidak sakau, tidak rasuah, jaga rakyat di bawah dan mempunyai keprihatinan. Ini yang kita nak,” katanya

