default
KLEBANG : Biarpun berdepan keadaan tidak sihat akibat demam, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani, tetap meneruskan usaha menyantuni rakyat ketika walkabout di Rumah Pangsa Lereh.
Semangat ditunjukkan calon muda itu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bekerja dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Dengan laungan “lawan tetap lawan”, Farzana memberi isyarat bahawa beliau tidak akan mudah mengalah, sebaliknya terus komited menyuarakan keperluan penduduk.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Puan Wawa, 44, berkata Farzana bukan calon yang hanya muncul ketika musim pilihan raya, malah kerap turun padang dan menyantuni masyarakat setempat.
Menurutnya, beliau turut mengenang jasa Farzana yang pernah menghulurkan bantuan serta sokongan kepada anak lelakinya ketika mewakili Melaka dalam Sukan Malaysia (SUKMA).
“Beliau memang selalu turun berjumpa penduduk. Bukan waktu kempen sahaja,” katanya.
Sementara itu, Rosina Indan, 47, pengundi DUN Klebang yang berasal dari Keningau, Sabah, berkata beliau tertarik dengan kepimpinan calon muda seperti Farzana.
Katanya, memberi peluang kepada generasi muda untuk mengisi kepimpinan negara merupakan langkah terbaik bagi membawa perubahan dan nafas baharu.
“Bagus beri peluang kepada orang muda. Mereka boleh bawa nafas baharu untuk negara,” katanya.
Pandangan kedua-dua penduduk itu menggambarkan keyakinan terhadap Farzana sebagai calon muda yang bukan sahaja berani, malah dekat dengan masyarakat.
Muda, tidak manja dan rajin bekerja, itulah gambaran ringkas penduduk terhadap Farzana yang terus membawa semangat perjuangan di Klebang.


