
SEREMBAN – Pelajar sekolah menengah yang tular menerusi video dipercayai berada dalam keadaan khayal di sebuah sekolah di Nilai, didapati positif tiga jenis dadah menerusi ujian saringan urin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pelajar terbabit dikesan positif ketamin, benzodiazepin (benzo) dan tetrahydrocannabinol (THC) hasil ujian saringan awal yang dijalankan pada 28 Oktober lalu.
Beliau berkata, pihak polis mula mengesan penularan video memaparkan pelajar berkenaan di platform media sosial Threads pada 4 November lalu sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu dan pelajar berkenaan akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, keputusan ujian saringan awal itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pelajar berada dalam keadaan khayal di sebuah sekolah di negeri itu.



