ALOR GAJAH – Keupayaan Malaysia menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil dan hala tuju ekonomi jelas menjadi antara pertimbangan Google membawa masuk pelaburan bernilai RM61 bilion ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google, Ruth Porat yang menjelaskan syarikat berkenaan turut mempertimbangkan beberapa negara lain di rantau ASEAN sebelum memilih Malaysia.
Beliau berkata, pelabur antarabangsa memerlukan persekitaran politik yang stabil, dasar ekonomi konsisten serta kecekapan pentadbiran sebelum membuat komitmen pelaburan berskala besar.
“Kekuatannya, kata dia pilih Malaysia kerana negara ini politiknya stabil. Tidak kucar-kacir, ada sikit-sikit rungutan biasa.
“Bila politik itu stabil, kemudian dasar, apa dia katakan, ‘clarity in policies, economic policies’ yang jelas,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Anwar berkata, pelaburan berkenaan adalah perkembangan besar kepada ekonomi negara, namun manfaatnya perlu diterjemahkan kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja mahir tempatan.
Katanya, maklum balas Google turut menyentuh keperluan meningkatkan kemahiran serta kepakaran pekerja tempatan bagi memenuhi tuntutan teknologi baharu.
“Terima kasih kepada kementerian, ketua pengarah dan kerajaan negeri yang melaksanakan dasar kerajaan dengan baik serta memastikan setiap program dijalankan tanpa kelewatan.
“Kita memerlukan peningkatan kemahiran dan latihan lanjut bagi memastikan tahap pengkhususan serta kepakaran dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh keupayaan tenaga kerja perlu diberi perhatian, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi digital.
Sehubungan itu, beliau mahu institusi pengajian tinggi (IPT) memperluas kerjasama dengan pemain industri supaya latihan yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Terdahulu, Google dilaporkan merancang melabur AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia dalam tempoh dua tahun bermula 2027, merangkumi pembangunan infrastruktur digital dan peluasan kampus pusat data.
Pelaburan itu turut melibatkan pewujudan peluang pekerjaan tempatan, pembangunan kampus pusat data cekap tenaga serta inisiatif memperkukuh bekalan air dan tenaga bersih negara.
Selain itu, Google menyasarkan kerjasama meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, selain menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.

