
KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada dalam kelompok 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia, sebaris dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pencapaian itu membuktikan peningkatan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan serta kualiti sistem pendidikan tinggi negara.
“Lebih membanggakan, dalam tempoh lima tahun, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketiga tertinggi di dunia, iaitu sebanyak 70 peratus, selain merekodkan peningkatan 16 peratus bagi pertumbuhan tahun ke tahun dalam kelompok Big 14.
“Dahulu, apabila bercakap tentang melanjutkan pengajian ke luar negara, ramai yang membayangkan Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Hari ini, Malaysia juga semakin menjadi pilihan pelajar antarabangsa,” kongsinya di Facebook pada Khamis.

Katanya, kelebihan Malaysia terletak pada penawaran pendidikan tinggi berkualiti dengan kos pengajian yang lebih berpatutan berbanding beberapa destinasi pendidikan utama dunia.
Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar membabitkan angka dan kedudukan, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan universiti tempatan, kualiti ahli akademik serta kekuatan ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Inilah cita-cita besar kita. Menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja menghantar anak bangsanya menimba ilmu ke seluruh dunia, tetapi turut menjadi tempat dunia datang mencari ilmu,” katanya.
Zambry turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara atas sumbangan mereka dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.
