
MIRI – Sebanyak 98 cadangan projek pembangunan melibatkan sektor pertanian, pelancongan, ekonomi dan sosial dikenal pasti oleh Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) untuk diperhalusi sebelum dijadikan asas permohonan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Sarawak.
Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sektor pertanian mencatatkan jumlah cadangan tertinggi, manakala keperluan infrastruktur khususnya rangkaian jalan raya turut menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan.
Menurutnya, kemudahan jalan raya yang lebih baik penting bagi meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan penempatan, memudahkan pergerakan penduduk serta menyokong kegiatan ekonomi setempat.
“Jumlah cadangan projek infrastruktur ini menunjukkan bahawa keperluan terhadap kemudahan infrastruktur khususnya rangkaian jalan raya di Bahagian Sri Aman masih berada pada tahap yang tinggi.
“Keperluan infrastruktur perlu terus diteliti agar pembangunan sektor lain seperti pertanian, pelancongan dan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Bengkel SADA dan Lawatan ke Projek Pertanian serta Pelancongan Berimpak Tinggi di Imperial Hotel Miri, pada Rabu.

Rohani berkata, satu bengkel susulan akan diadakan bersama agensi pelaksana bagi meneliti kesemua 98 cadangan projek berkenaan sebelum senarai itu dimuktamadkan.
Menurutnya, penelitian tersebut merangkumi skop projek, anggaran kos, kesesuaian lokasi, justifikasi pembangunan serta penentuan agensi yang bertanggungjawab melaksanakannya.
Langkah itu penting bagi memastikan projek yang dicadangkan bersesuaian dengan keperluan sebenar penduduk serta mampu memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.
“Senarai 98 cadangan projek ini bukanlah untuk kegunaan atau rujukan SADA semata-mata. Sebaliknya, kita berharap senarai yang telah dimurnikan nanti dapat dijadikan sebagai rujukan bersama bagi perancangan pembangunan Bahagian Sri Aman oleh semua agensi berkaitan,” jelasnya.
Beliau berkata, senarai projek yang dimuktamadkan kelak juga akan menjadi asas kepada SADA untuk membuat persediaan memohon peruntukan tambahan daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Rohani menegaskan bahawa pembangunan Bahagian Sri Aman memerlukan kerjasama menyeluruh antara Pejabat Residen, Pejabat Daerah, agensi kerajaan, wakil rakyat serta ketua masyarakat.
Katanya, penglibatan semua pihak penting bagi memastikan cadangan yang dikumpulkan dapat dinilai secara menyeluruh sebelum diterjemahkan kepada perancangan pembangunan yang lebih tersusun.
Beliau berharap kesemua cadangan berkenaan dapat dijadikan panduan dalam menentukan keutamaan projek pembangunan yang benar-benar diperlukan masyarakat di Bahagian Sri Aman.



