
KOTA KINABALU – Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada 700 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam membangunkan industri minyak pada masa akan datang.
“Mereka sekarang sedang menjalankan kajian di sebelah pantai timur dan ada juga telaga minyak dan gas yang telah mereka perolehi di sana, mungkin ada kluster dan lain-lain.
“Jadi Insya-Allah, bukan sahaja di sana tetapi mereka juga akan ‘explore the onshore’,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Laporan Strategi Gas Sabah di Hilton Hotel, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, ia membuktikan hubungan kerjasama erat antara Petronas dan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan membangunkan sumber minyak dan gas di Sabah.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” ujarnya.
Sebagai rekod, bekalan gas Sabah tersebut didorong oleh tujuh projek pembangunan luar pesisir melibatkan dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat minyak Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.
Projek berkenaan, termasuk pembangunan empat medan gas baharu, merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang negeri bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga dan perindustrian.

Selain itu, laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 dan Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi penghantaran bekalan gas susulan kajian oleh Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah, hasil kerjasama antara agensi-agensi negeri yang diterajui SMJ Energy bersama Petronas.
Berdasarkan laporan berkenaan, permintaan terhadap bekalan gas tambahan itu akan didorong oleh loji-loji janakuasa baharu serta kemudahan gas asli cecair terapung ketiga Petronas (PFLNG3).
Ia turut merangkumi pelaburan baharu dalam sektor pembuatan di sepanjang koridor Pantai Barat, bermula dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), melalui Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis hingga ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP) di Sipitang dan terminal gas di Labuan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Pengerusi SMJ Energy dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif SMJ Energy, Datuk Albert Lo Che Hung.





