PULAU GADONG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir tidak patah semangat untuk terus menabur bakti kepada masyarakat meskipun kurang bernasib baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu menjadi pembakar tekad dan tidak menghalang dirinya mendekati rakyat dan memahami permasalahan setempat, selain memperkukuh gerak kerja akar umbi di Klebang.
Beliau yang mesra dipanggil Nana memaklumkan pihaknya sudah bergerak lebih awal di kawasan berkenaan selepas kekalahan itu bagi mengenali isu di setiap daerah mengundi serta membina hubungan dengan penduduk
“Nana dah bergerak lebih lama jika dibandingkan dengan Nana di Sungai Rambai dulu-dulu. Nana bergerak di Klebang dah lebih lama selepas tewas di Sungai Rambai.
“Jadi, daripada situ kita dah terus turun padang, kita kenali isu-isu di setiap daerah mengundi,” katanya ketika ditemui media di program lepak santai di Rumah Awam Pulau Gadong, pada Selasa.
Dalam pada itu, Farzana berkata, Farzana berkata, antara isu yang mahu diberi perhatian termasuk masalah nelayan dan pesawah di Kampung Pinang serta banjir di Seberang Gajah yang didakwa tidak diselesaikan sejak hampir 20 tahun lalu.
Katanya, beliau juga mahu membawa suara wanita muda dan suri rumah yang berdepan kesukaran kewangan, khususnya mereka yang tidak mempunyai pendapatan sendiri serta bergantung sepenuhnya kepada suami.
“Berapa hari ni, selepas je penamaan calon kita terus walkabout, kita terus Ziarah Kasih, kita terus edar flyers di rumah ke rumah. Macam petang tadi kita naik motor, kita jumpa orang-orang kampung, kita naik motor di Kampung Tengah, di Paya Mengkuang dan sebagainya.
“Alhamdulillah, setakat ini reaksi pengundi di Klebang, di kampung Nana sendiri, Bukit Rambai, alhamdulillah sangat positif.
“InsyaAllah jika dipilih sebagai wakil rakyat, kita cuba selesaikan, kita berganding bahu dan bekerjasama dengan agensi-agensi, dengan kerajaan Persekutuan untuk kita terus cuba selesaikan sebaik mungkin,” katanya.



