Amir Hamzah Azizan
KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) merekodkan lebih RM14 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) sehingga 30 September lepas.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu disumbang oleh beberapa faktor termasuk kurangnya kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan orang awam mengenai kewujudan WTD serta hak untuk membuat tuntutan.
“Antara faktor lain adalah kegagalan mengesan pemilik wang berikutan maklumat perhubungan seperti alamat dan nombor telefon yang tidak lagi tepat atau tidak dikemas kini.
“Kekurangan maklumat mengenai kewujudan WTD, khususnya apabila pemilik tidak menyedari terdapat wang yang masih terhutang kepada mereka oleh entiti atau syarikat turut menyumbang kepada peningkatan jumlah tersebut,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan MADANI 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan telah menggerakkan beberapa langkah bagi mempermudah proses bayaran balik kepada pemilik asal, termasuk masyarakat di luar bandar.
“Melalui Portal eGUMIS JANM, ia memudahkan orang awam untuk menyemak dan membuat tuntutan WTD secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, JANM turut memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran dan capaian perkhidmatan kepada rakyat di seluruh negara.
“Setakat 30 Oktober, sebanyak 176 program reruai WTD dilaksanakan oleh JANM di seluruh negara berbanding 89 program yang dianjurkan tahun lalu,” katanya.


