KUALA PILAH – Polis Negeri Sembilan mengambil langkah mempertingkat kawalan keselamatan di seluruh negeri susulan perkembangan kemelut semasa bagi memastikan keadaan kekal aman dan terkawal.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan terhadap perkembangan yang berlaku serta memberi tumpuan khusus terhadap aspek keselamatan di semua kawasan.
Menurutnya, tindakan itu penting bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat tidak terjejas susulan perkembangan semasa.
“Keutamaan kita ialah ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak. Jadi apabila berlaku perkara ini, kita sentiasa memberikan perhatian lebih dan kita perketat semua kawalan keselamatan di setiap kawasan.
“Saya mengharapkan masyarakat supaya bersabar serta mengharapkan penyelesaian berlaku mengikut lunas undang-undang dan proses yang berlandaskan setiap undang-undang yang ada di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Diraja Tuanku Munawir, di sini, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Tuanku Muhriz turut menerima memorandum taat setia dan sokongan terhadap baginda yang diserahkan Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Dr Mohd Aluwi Sari.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Tuanku Muhriz bertarikh 19 April lalu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
AGC turut memaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.
Foto: Kosmo






