
MIRI- Kawasan Batang Ai berpotensi diperkenalkan dengan konsep pelancongan berasaskan komuniti atau Community-Based Ecotourism (CBET) bagi memperluas peluang ekonomi penduduk setempat.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, Gunung Lesong dan Tasik Batang Ai merupakan dua aset utama yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di bahagian berkenaan.
Menurutnya, pembangunan sektor itu boleh merangkumi ekopelancongan, pelancongan berasaskan komuniti, inap desa serta produk pelancongan yang mengetengahkan identiti dan keunikan tempatan.
Katanya, ketika ini komuniti Gunung Lesong sudah terlibat secara khusus dalam pelaksanaan CBET yang diketuai Dr Victor Luna Amin, namun pendekatan sama masih belum dibangunkan di kawasan Batang Ai.
“Beberapa projek pelancongan di bawah perancangan SADA boleh dijadikan peluang untuk memperkenalkan konsep CBET di Batang Ai melalui penglibatan aktif komuniti setempat.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman pelancongan, malah berpotensi membuka peluang ekonomi dan menjana pendapatan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel SADA dan Lawatan ke Projek Pertanian serta Pelancongan Berimpak Tinggi di Miri, pada Selasa.
Mahra berkata, pembangunan pelancongan yang dirancang dengan baik turut memberi peluang kepada usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pengusaha makanan dan peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan.
Dalam pada itu, beliau berkata hasil lawatan delegasi SADA ke Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) pada Ogos lalu turut memberikan pendedahan mengenai model perniagaan pelancongan serta konsep ekopelancongan yang boleh dijadikan rujukan.
“Saya berharap idea yang diperoleh dapat disesuaikan dengan potensi tempatan bagi memperkukuh sektor pelancongan dan menjadikan Bahagian Sri Aman sebagai destinasi yang mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya.



