
MIRI – Sri Aman berpotensi dibangunkan sebagai antara kawasan utama pengeluaran padi di Sarawak menerusi kawasan Lingga, Stumbin dan Tanjung Bijat yang dikenal pasti sesuai untuk pembangunan sektor pertanian itu.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata, Lingga turut mendapat perhatian Premier Sarawak untuk dibangunkan sebagai antara kawasan penting dalam pembangunan jelapang padi negeri ini.
Menurutnya, usaha berkenaan memerlukan perancangan rapi, termasuk penyediaan kemudahan pengairan dan saliran yang mencukupi serta penggunaan teknologi pertanian moden.
“Jika potensi ini dapat dibangunkan dengan perancangan yang baik, sektor padi bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran makanan, malah berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan para petani.
“Pembangunan pertanian juga perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aktiviti penanaman, tetapi turut merangkumi pemprosesan, penyimpanan, pemasaran dan pembangunan rantaian bekalan hasil pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Bengkel SADA dan Lawatan ke Projek Pertanian serta Pelancongan Berimpak Tinggi di Imperial Hotel Miri, pada Selasa.
Mahra berkata, sektor pertanian dan pelancongan menjadi fokus utama fasa kedua hala tuju pembangunan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA).
Katanya, tumpuan itu selaras dengan hala tuju pembangunan bahagian berkenaan yang turut digariskan Premier Sarawak ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sri Aman baru-baru ini.
Beliau berharap usaha memperkukuh sektor pertanian, khususnya industri padi, dapat dilaksanakan secara terancang bagi memastikan sumber dan kelebihan kawasan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan masyarakat setempat.


