
MIRI – Sri Aman Development Agency (SADA) sedang merangka persediaan awal bagi fasa pembangunan seterusnya dengan memberi penumpuan khusus kepada sektor pertanian dan pelancongan berimpak tinggi di Bahagian Sri Aman.
Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah ini diambil berikutan komitmen peruntukan SADA yang diluluskan sebelum ini kini didapati semakin menghampiri kadar penggunaan 100 peratus.
Mengulas lanjut, beliau berkata agensi itu tidak boleh menunggu sehingga peruntukan terdahulu selesai digunakan sepenuhnya sebelum memikirkan inisiatif baharu.
“Sebaliknya, SADA perlu bersedia lebih awal bagi penyediaan senarai cadangan projek untuk memohon peruntukan tambahan daripada Premier Sarawak.
“Kita mahu semua pihak duduk bersama, berkongsi pandangan dan mengenal pasti projek yang benar-benar diperlukan di kawasan masing-masing dengan menggabungkan kepakaran agensi teknikal serta maklumat di lapangan daripada Pejabat Daerah dan Ketua Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel SADA dan Lawatan ke Projek Pertanian serta Pelancongan Berimpak Tinggi di Miri, hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Residen Bahagian Sri Aman agar hala tuju pembangunan dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga fasa utama, dengan tumpuan semasa diberikan kepada Fasa Kedua iaitu sektor pertanian dan pelancongan.
Fokus ini juga selaras dengan hasrat Premier Sarawak yang menekankan kepentingan pembangunan kedua-dua sektor tersebut di wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar cetusan idea dan pengalaman hasil lawatan SADA ke pameran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2026 diterjemahkan ke dalam bentuk cadangan projek yang bersesuaian dengan potensi tempatan di Sri Aman.
Beliau mengingatkan agar setiap cadangan projek yang dikemukakan melalui bengkel ini perlu mengambil kira kerangka perancangan strategik sedia ada seperti Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Pelan Induk Sri Aman 2020-2030, Pelan Pembangunan SADA 2021-2030, serta Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2020-2035 bagi mengelakkan pertindihan dan memastikan impak yang lebih menyeluruh.
Bengkel selama tiga hari itu menghimpunkan ketua-ketua jabatan, agensi pelaksana projek SADA, pihak Pejabat Residen dan Daerah, serta ketua-ketua masyarakat bagi menghasilkan senarai cadangan projek yang berkualiti, tersusun, dan mempunyai asas serta justifikasi yang kukuh.



