
TAWAU – Polis menahan dua pemandu lori susulan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial Facebook dipercayai memandu secara berbahaya di Jalan Apas, laluan Semporna–Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 29 Ogos 2026, kira-kira jam 3.52 petang, ketika sebuah lori Isuzu dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.
“Berdasarkan siasatan awal, sebuah lagi lori Isuzu dipercayai telah memotong beberapa kenderaan lain secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal.
“Rakaman kejadian berkenaan kemudiannya tular di media sosial pada 17 September 2026, sebelum laporan Polis dibuat pada jam 9.58 malam,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan kedua-dua lelaki terbabit pukul 11.10 malam, bagaimanapun, saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati mereka negatif dadah.
“Usaha sedang dijalankan untuk mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan,” ujarnya.
Tegas Rosdi, pihaknya memandang serius sebarang tindakan memandu secara melulu dan berbahaya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Sarjan Razlan Razan di talian 019-823 4484,” katanya.





