JASIN – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu mempunyai laluan kerjaya yang jelas, termasuk jaminan peluang pekerjaan dan tawaran gaji premium sebaik menamatkan pengajian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama strategik antara institusi latihan dengan pemain industri perlu diperkukuh bagi memastikan kemahiran graduan menepati keperluan pasaran.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu memainkan peranan sebagai peneraju bersama institusi latihan dan industri dalam mengenal pasti keperluan tenaga kerja lebih awal.
“Saya mahu MARA menjadi peneraju bersama institusi latihan dan pemain industri untuk mengenal pasti keperluan ini lebih awal.
“Susun latihan, sediakan pendedahan industri dan bina laluan pengambilan graduan sebelum operasi bermula.
“Apabila pintu industri dibuka, anak-anak Melaka mesti sudah bersedia untuk melangkah masuk,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA 2026 di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Melaka berada pada landasan tepat memperkukuh ekosistem TVET dengan rangkaian kerjasama membabitkan 408 rakan industri merentasi 18 sektor utama.
Jaringan itu perlu dimanfaatkan untuk menyelaraskan kandungan latihan dengan kehendak industri, pendedahan teknologi semasa serta penempatan latihan di tempat kerja sebenar.
Beliau turut menyambut baik peruntukan khas RM10 juta kerajaan negeri bagi pembangunan Melaka TVET Centre of Excellence yang mampu meningkatkan mutu latihan dan melahirkan tenaga mahir diperlukan industri.
Katanya, model kerjasama MARA menerusi Malaysia-China Institute dengan Samsung SDI Energy Malaysia dalam industri bateri kenderaan elektrik boleh dijadikan contoh untuk diperluas di Melaka.



