
KOTA KINABALU – Kerajaan bersetuju pada prinsipnya untuk memindahkan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah melebihi nisbah perwakilan yang ada ketika ini, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan merupakan antara perkara utama yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri, pada Rabu lalu.
“Penambahan itu mesti juga melibatkan nisbah Sabah-Sarawak lebih tinggi. Ini kena faham. Penambahan Ahli Parlimen itu berwenang (kuasa) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Maknanya mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya semasa sidang media Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil 1 Tahun 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.
Menurut Anwar, MA63 pada asalnya menetapkan satu pertiga perwakilan bagi Singapura, Sabah dan Sarawak, keadaan itu berubah selepas Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.
“Walaupun dalam perjanjian MA63 itu dengan penyertaan Singapura, ia satu per tiga daripada Singapura-Sabah-Sarawak. Sekarang ini tentunya kurang. Jadi keputusan kita adalah menambah nisbah Sabah-Sarawak,” katanya.
Justeru, wakil daripada Sabah-Sarawak akan berunding bersama dengan parti-parti di Semenanjung berhubung perkara berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkara kedua yang diberi perhatian ialah penambahan jawatan-jawatan penting untuk Sabah dan Sarawak seperti yang diperakui dalam MA63 serta Suruhanjaya Cobbold.
Menurutnya, perkara berkenaan telah diputuskan untuk dilaksanakan dalam beberapa fasa, dengan fasa pertama telah dilaksanakan manakala fasa kedua akan disegerakan.
“Fasa pertama telah dilaksanakan. Fasa kedua disegerakan. Ini termasuklah yang disebut melantik anak-anak dari Sabah-Sarawak untuk jawatan-jawatan yang utama,” ujarnya.
Sebagai rekod, kini Sabah mempunyai 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi Parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud.






