
PETALING JAYA – Jumlah pekerja asing di Malaysia ditentukan berdasarkan keperluan sebenar industri dan sektor, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Beliau berkata, hal itu tertakluk kepada siling yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang timbalan menteri Bangladesh bahawa kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh akan diambil Malaysia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan bermula hujung bulan ini.
“Hanya apabila terdapat keperluan sebenar, perkara itu akan dinilai dan dibincangkan oleh Kabinet.
“Mana masuk akal 200,000 nak datang dalam masa enam bulan. Adakah itu bermaksud setiap hari kita nak bawa 1,000 lebih warga Bangladesh masuk Malaysia. Tak logik, tak masuk akal langsung,” katanya, seperti dilaporkan FMT.
Ramanan berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Bangladesh berhubung perkara itu dan mendapati terdapat kekeliruan mengenai kenyataan tersebut.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam berkata, Malaysia merancang mengambil kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Shuhada Othman, bertemu dengan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi, Abdul Moyeen Khan.
Susulan itu, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil menafikan dakwaan tersebut dan berkata kenyataan dibuat timbalan menteri Bangladesh dan ia tidak mewakili pendirian rasmi Dhaka.
Ramanan menegaskan bahawa pendekatan ini akan memastikan keputusan mengenai pengambilan pekerja asing dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab, berdasarkan keperluan sebenar ekonomi dan industri.
Beliau berkata kerajaan akan terus mempertimbangkan keperluan majikan dan sektor kritikal, sambil melindungi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia terlebih dahulu dan memastikan kebergantungan negara terhadap tenaga buruh asing kekal dalam kerangka dasar yang diluluskan.
“Kerajaan kekal komited untuk mengekalkan pasaran buruh yang seimbang yang menyokong pertumbuhan industri, melindungi kepentingan pekerja tempatan dan memastikan pengambilan pekerja asing dikawal selia dengan sewajarnya serta selaras dengan keutamaan ekonomi negara,” katanya.




