
KUCHING – Komuniti Sikh mampu memainkan peranan besar dalam memperkukuh pembangunan pendidikan di Sarawak, khususnya melalui pemanfaatan teknologi digital bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan ilmu pengetahuan perlu diperkukuh seiring perkembangan teknologi bagi memastikan generasi muda mendapat akses kepada peluang pembelajaran yang lebih luas.
Menurutnya, penggunaan kemudahan pendidikan digital merupakan antara pendekatan yang boleh membantu kanak-kanak meneroka pelbagai bidang ilmu secara lebih interaktif dan berkesan.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan sebuah papan pintar interaktif bernilai kira-kira RM10,000 bagi menyokong pembelajaran kanak-kanak komuniti Sikh di Kuching.
“Melalui kemudahan itu, anak-anak anda boleh mengakses pelbagai mata pelajaran penting menerusi aplikasi pendidikan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Gurdwara Sahib Kuching di Jalan Masjid, pada Ahad.
Abang Johari berkata, papan pintar berkenaan akan ditempatkan di salah sebuah bilik darjah Gurdwara Sahib Kuching bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih moden kepada kanak-kanak.
Menurutnya, kemudahan tersebut membolehkan pelajar memanfaatkan pelbagai platform pendidikan dalam talian, termasuk Khan Academy yang menawarkan bahan pembelajaran dalam pelbagai mata pelajaran.
Beliau berkata, penggunaan teknologi dalam pendidikan penting bagi membantu pelajar memperkukuh pemahaman, meningkatkan minat terhadap pembelajaran serta mengembangkan potensi diri.

Katanya, pendekatan berkenaan juga selaras dengan usaha kerajaan Sarawak memperluas penggunaan teknologi digital dalam sektor pendidikan menerusi penyediaan kemudahan papan pintar melalui Yayasan Sarawak.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menghargai peranan komuniti Sikh dalam memberikan penekanan kepada pendidikan sebagai asas pembangunan generasi muda dan kemajuan masyarakat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, pembesaran Gurdwara Sahib Kuching turut mendapat sokongan kerajaan Sarawak menerusi peruntukan RM5 juta serta bantuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Menurutnya, sokongan berkenaan membantu merealisasikan pembangunan kemudahan yang lebih lengkap bagi memenuhi keperluan pendidikan, kebudayaan dan keagamaan masyarakat Sikh.
Antara kemudahan yang disediakan ialah sekolah Punjabi, perpustakaan, dewan serbaguna serta bilik penginapan bagi menyokong pelbagai aktiviti komuniti.
Kemudahan pendidikan yang disediakan itu turut membuka ruang kepada generasi muda untuk memperkukuh penguasaan ilmu, di samping mengenali bahasa dan warisan kebudayaan masyarakat mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut memuji keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak yang terus hidup dalam suasana saling menghormati.
Beliau berharap semangat perpaduan itu terus dipelihara sebagai asas kepada pembangunan masyarakat yang inklusif, khususnya dalam memastikan peluang pendidikan dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak



