
KUCHING – Sorakan penonton mengiringi kejayaan pasukan Todak Berjaya apabila dinobatkan sebagai Raja Sungai Regata Sarawak 2026 selepas memenangi acara kemuncak Bidar 30 Pekayuh di Sungai Sarawak pada Ahad.
Kemenangan itu membolehkan Todak Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sekali gus merampas gelaran berprestij berkenaan daripada Landas Saga Sebuyau yang muncul juara pada edisi tahun lalu.
Kemeriahan acara kemuncak itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kehadiran kedua-dua pemimpin tertinggi negeri itu serta beberapa barisan pemimpin yang lain menyerikan lagi penganjuran regata yang menjadi antara acara sukan tradisional utama Sarawak, selain menarik perhatian masyarakat tempatan dan pengunjung ke Tebingan Kuching.
Dalam saingan akhir yang menghimpunkan 13 pasukan, Todak Berjaya mempamerkan keserasian dan disiplin kayuhan bagi mengekalkan kedudukan di hadapan pencabar sehingga melepasi garisan penamat.
Landas Saga Sebuyau yang berusaha mempertahankan kejuaraan terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala pasukan Udak 8 melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Kejayaan Todak Berjaya menamatkan penguasaan juara bertahan itu turut memperlihatkan persaingan sengit dalam acara Bidar 30 Pekayuh yang menjadi tumpuan utama peminat sukan perahu panjang.

Untuk rekod, Regata Sarawak 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November dengan mempertandingkan 18 acara melibatkan kategori tempatan dan terbuka.
Penganjuran bertemakan ‘Race For Harmony’ itu bukan sekadar medan persaingan sukan air, malah menjadi wadah memelihara warisan perlumbaan perahu tradisional yang mempunyai nilai sejarah serta budaya tersendiri di Sarawak.
Selain mengetengahkan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan, regata berkenaan turut menyumbang kepada kemeriahan sektor pelancongan melalui kehadiran pengunjung serta penganjuran pelbagai aktiviti di sekitar Tebingan Kuching.

Kejayaan Todak Berjaya merangkul gelaran Raja Sungai sekali gus melengkapkan kemuncak Regata Sarawak 2026 yang terus menjadi antara acara tahunan penting dalam kalendar sukan dan kebudayaan negeri.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak



