
JASIN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman mengambil pendekatan persaingan secara sihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, meskipun berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Azman Abdullah yang juga rakan seperjuangannya dalam arena politik.
Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin antara mereka tidak menghalang kedua-duanya daripada bersaing secara profesional bagi mendapatkan mandat rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, Datuk Azman bukan individu asing baginya, malah mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain menerusi penglibatan dalam bidang politik.
“Di DUN Serkam, saya mengambil pendekatan untuk bersaing secara sihat. Ini kerana calon yang bertanding dengan saya adalah seseorang yang rapat sejak dahulu dan saya anggap seperti abang sendiri,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Ahad.
Pada PRN Melaka kali ini, Muhammad Faiq berdepan saingan tiga penjuru di DUN Serkam bersama Datuk Azman Abdullah (BN) dan Muhamad Saffie Md Yasan (Bersama).

