JASIN – Memperluas peluang penyertaan golongan muda dalam aktiviti e-sukan, selain memberi perhatian kepada kebajikan golongan miskin dan nelayan antara agenda yang mahu dibawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, tumpuan terhadap tiga kelompok itu menjadi antara keutamaan dalam perancangannya untuk membawa manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya, usaha menyediakan program e-sukan dilihat mampu membuka ruang kepada golongan muda untuk menyertai aktiviti berasaskan minat dan bakat mereka.
“Setakat ini, saya memberi tumpuan kepada manifesto golongan muda. Insya-Allah, saya akan cuba membawa program e-sukan untuk mereka sertai.
“Kedua, kita akan membantu golongan miskin dan ketiga, membantu golongan nelayan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada hari pertama kempen PRN Melaka.
Mengulas pendekatan kempen, Muhammad Faiq berkata, beliau akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mendekati pengundi, termasuk menerusi aktiviti turun padang dan panggilan telefon.
Katanya, usaha menyantuni masyarakat akan diteruskan bagi memastikan hubungan dengan pengundi dapat diperkukuh sepanjang tempoh berkempen.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan pengundi muda yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin yang bakal mewakili mereka.
Untuk rekod, Muhammad Faiq berdepan saingan tiga penjuru di DUN Serkam menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Azman Abdullah dan calon Parti Bersama Malaysia (B), Muhamad Saffie Md Yasan.

