
KUCHING – Pengusaha perahu penambang yang menjadi sebahagian daripada warisan pengangkutan sungai Sarawak terus mendapat perhatian menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sempena Regata Sarawak 2026.
Sumbangan kepada pengusaha tempatan itu merupakan antara usaha syarikat berkenaan menyokong kelangsungan mata pencarian komuniti yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan air.
Menurut kenyataan media BPHB, sumbangan tersebut disampaikan Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan, Maslihah Tioh pada Jumaat, 30 Oktober lalu.
“Inisiatif itu turut menjadi tanda penghargaan terhadap peranan perahu penambang sebagai sebahagian daripada sejarah dan kehidupan masyarakat yang mempunyai hubungan rapat dengan sungai di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Anuar Ismail berkata, sokongan terhadap Regata Sarawak mencerminkan komitmen syarikat dalam memelihara tradisi negeri serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat.
Menurutnya, penglibatan BPHB dalam penganjuran regata berkenaan telah memasuki tahun keempat, meskipun syarikat itu tidak menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan.
“Bagi BPHB, semangat Sarawak Regatta bukan hanya terletak pada persaingan di medan perlumbaan, tetapi turut dizahirkan melalui semangat kesukanan, kebersamaan dan perpaduan yang menyatukan peserta serta masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan dan Kolaborasi Program CSR sempena Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, BPHB turut menyalurkan tajaan bagi penganjuran Perauk Sarong di Kuching sebagai sokongan terhadap aktiviti kebudayaan yang menggalakkan penyertaan masyarakat.
Selain itu, syarikat berkenaan bekerjasama dengan MAKSAK Wanita Sarawak menerusi program Pickleball Fiesta 2026 bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan antara organisasi dan komuniti.
Perlawanan akhir program pickleball itu dijadual berlangsung di Kuching pada Disember ini.
BPHB berharap pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan dapat memperkukuh hubungan dengan masyarakat, selain menyokong pemeliharaan warisan dan pembangunan sosial yang inklusif.



