KLEBANG – Kelemahan penguatkuasaan dan ketiadaan pemantauan berkesan didakwa membuka ruang kepada warga asing memonopoli aktiviti tanaman sayuran akibat tindakan pemilik tanah yang menghalalkan pembukaan kebun terbabit.
Veteran tentera, Mohd Zamri Zakaria, 45, mendedahkan keadaan itu semakin ketara apabila kebanyakan kebun sayur di kawasan sekitarnya diusahakan warga Bangladesh, sedangkan penglibatan penduduk tempatan semakin tersisih.
Lebih membimbangkan, katanya, pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti pengusahaan kebun oleh warga asing didakwa masih jarang dilakukan berbanding operasi pemeriksaan terhadap pekerja asing yang tidak memiliki permit atau dokumen perjalanan sah.
“Sekarang keliling (kebun saya, semua bos kebun sayur adalah orang Bangladesh. Tak percaya boleh terjah kebun. Sekarang ni. Cina pun sekarang dah tak buat dah kebun. Tak buat dah.
“Apa yang kita bimbang dan menjadi masalah, tanah itu orang kita (tempatan) yang sewakan sehingga warga Bangladesh menguasai aktiviti kebun sayur,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mohd Zamri berkata, tindakan pemilik tanah secara tidak langsung menutup ruang dan peluang kepada pekebun-pekebun kecil tempatan untuk mengusahakan aktiviti tanaman demi kelangsungan hidup.
“Silap orang kita sendiri. Mereka pentingkan diri kerana mahu duit, jadi sanggup sewakan tanah kepada warga asing.
“Kenapa hendak sewakan kepada mereka sedangkan masih ada orang tempatan yang boleh mengusahakannya?” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan tindakan tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada warga asing yang bekerja tanpa permit atau dokumen perjalanan sah, sebaliknya pemilik tanah yang menyewakan kawasan berkenaan juga perlu diberikan perhatian.
Katanya, penguatkuasaan lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti status pengusaha kebun, pemilikan atau penyewaan tanah serta kesahihan penglibatan warga asing dalam aktiviti pertanian.
“Kena pemantauan daripada pihak berkuasalah. Kenapa engkau nak sewakan untuk dia orang ni, ada lagi orang yang boleh buat,” katanya.


