
PENGURUSAN ladang kelapa sawit di Malaysia dilihat lebih teratur menerusi sistem dan prosedur ditetapkan, termasuk urusan pemilikan tanah serta pemantauan aktiviti perladangan bagi memastikan kawasan tanaman diuruskan dengan baik.
Pesawit, Muhamad Nur Farhan Sabikin, 36, berkata, Malaysia mempunyai saluran tertentu untuk membantu pemilik tanah menguruskan kawasan masing-masing, termasuk melalui Pejabat Tanah dan Daerah serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dia yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pertanian berkata, penglibatannya bermula sejak sekolah rendah apabila mengikuti keluarganya mengusahakan tanaman.
Katanya, urusan berkaitan hak milik dan penggunaan tanah boleh dibuat melalui Pejabat Tanah, manakala MPOB berperanan dalam pemantauan serta membantu pengusaha dalam industri sawit.
“Kalau di Malaysia, kita ada sistem. Kalau berkaitan tanah, kita boleh pergi ke Pejabat Tanah untuk urusan hak milik dan kebenaran penggunaan tanah.
“Bagi tanaman sawit pula, ada MPOB yang akan pantau. Setakat yang saya tahu, memang ada sistem pemantauan untuk kawasan tanaman,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Ahad.
Dia berkata, pengurusan ladang yang baik juga memerlukan pengusaha mengeluarkan modal untuk membersihkan kawasan, termasuk menggunakan mesin dan peralatan bersesuaian.
Tambahnya, perkara itu antara faktor yang membantu memastikan kawasan tanaman di Malaysia berada dalam keadaan lebih bersih dan terurus tanpa bergantung kepada pembakaran terbuka.
Mengulas isu pembakaran ladang di Indonesia, Muhamad Nur Farhan berkata, keadaan itu mungkin dipengaruhi beberapa faktor termasuk pemilikan tanah dan kemampuan pengusaha menyediakan modal untuk menguruskan kawasan tanaman.
“Di Indonesia, mungkin ada pengusaha yang tidak mempunyai modal mencukupi untuk membersihkan kawasan. Mereka perlu menggunakan mesin dan mengeluarkan belanja untuk kerja berkenaan.
“Kalau kita tengok di sini, kawasan ladang bersih kerana pengusaha sudah keluarkan modal untuk menggunakan mesin dan melakukan kerja pembersihan,” katanya.
Dia berkata, pembakaran kawasan tanaman secara berulang juga boleh menyebabkan asap merebak ke kawasan berhampiran dan negara jiran bergantung kepada arah tiupan angin.
Justeru, perkara itu perlu diberi perhatian kerana kesan pembakaran bukan hanya dirasai di kawasan berkenaan, malah boleh menjejaskan negara lain.
“Kalau kita berjiran, asap itu boleh sampai ke kawasan lain bergantung kepada arah angin. Sebab itu kita perlu fikirkan kesannya terhadap alam sekitar.
“Pada saya, kalau nak bersihkan kawasan, kita kena ikut prosedur dan jangan bakar sesuka hati,” katanya.
Dia turut menegaskan pengusaha perlu mengambil kira kepentingan alam sekitar dalam menguruskan kawasan pertanian bagi mengelakkan masalah pencemaran dan jerebu berulang.



