
KOTA KINABALU – Seramai 93 usahawan di daerah Kota Belud, termasuk 17 usahawan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, telah menerima manfaat menerusi Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pelbagai jenis bantuan yang diberikan telah membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri Sabah turut memperluaskan peluang kepada lebih ramai usahawan mikro untuk memohon bantuan di bawah Program Bantuan SME-UP.
“Program tersebut juga menambah baik kualiti serta penjenamaan produk, memenuhi piawaian pensijilan dan keperluan pasaran, di samping meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran produk mereka.
“Peniaga kecil yang mempunyai lesen perniagaan yang sah serta telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan adalah layak mengemukakan permohonan,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Sabah, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Ewon berkata, kementeriannya sentiasa komited memastikan bantuan pembangunan keusahawanan disalurkan secara inklusif kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh Sabah.
Jelasnya, ia termasuk usahawan dan peniaga kecil yang sebelum ini belum pernah menerima sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri.
Menurutnya, bagi memastikan tiada usahawan yang tercicir, DIDR telah melaksanakan Program Bantuan SME-UP secara berterusan sejak tahun 2020 dengan menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, pensijilan Halal dan MeSTI, pendaftaran cap dagangan serta mesin retort.
“Selain penyediaan bantuan, usaha memperluaskan hebahan program turut dipergiatkan. Pada tahun ini, DIDR telah melaksanakan Program Outreach di 13 daerah di Sabah sepanjang bulan Mac hingga Mei, termasuk di daerah Kota Belud.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama persatuan usahawan, agensi-agensi kerajaan serta pelbagai platform media sosial bagi memastikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan dapat disampaikan secara lebih meluas kepada usahawan tempatan,” ujarnya.
Kementerian akan terus memperkukuh pelaksanaan Program Bantuan SME-UP, termasuk meningkatkan promosi dan penyampaian maklumat agar lebih ramai usahawan dapat memanfaatkan inisiatif kerajaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.



