
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan pelbagai strategi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan B40 serta belia yang masih belum mendapat pekerjaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, antara strategi utama ialah meningkatkan kebolehpasaran belia menerusi latihan kemahiran jangka pendek dan jangka panjang yang memfokuskan sektor pelancongan, pertanian serta perindustrian.
Tambahnya, Kementerian turut memperkasa keusahawanan belia melalui penyediaan geran permulaan perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan mentor dan pemantauan bagi membantu usahawan menjana pendapatan secara mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Selain itu, kementerian juga memperluaskan akses pasaran kepada usahawan belia menerusi penganjuran karnival, ekspo, program promosi bagi meningkatkan jualan produk serta perkhidmatan mereka.
“Kita juga memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta seperti Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan PERKESO bagi memperluaskan peluang latihan serta pekerjaan kepada belia,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani semasa Mesyuarat Kedua Dewan Undangan Sabah ke-17, disini pada Rabu.
Menurut Nizam, selain inisiatif kementeriannya, kementerian lain, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah turut melaksanakan pelbagai program kemahiran yang memberi manfaat kepada golongan belia B40.
Dalam pada itu, Nizam berkata, sektor industri minyak sawit dan pemprosesan makanan, pelancongan dan perkhidmatan, pembinaan dan infrastruktur, perkapalan, logistik dan pelabuhan, akuakultur, perikanan serta ekonomi digital dan kreatif terus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Sementara itu, beliau memaklumkan kementerian turut menganjurkan Kursus Pemprosesan Hasilan Daging Ayam bagi meningkatkan kemahiran peserta.
Di Nabawan, katanya, seramai 11 usahawan belia berjaya menerima Dana Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi membantu mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan, selain menerima bimbingan dan pemantauan berterusan.
Jelasnya, Program Belia Turun Padang turut dilaksanakan bagi mendekati belia luar bandar melalui aktiviti pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti, kesedaran sosial dan sukan.





