
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah melalui Sabah Electricity (SE) memandang serius isu kecurian kabel yang berlaku di sekitar Karambunai kerana bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah, Datuk Ruddy Awah berkata, berdasarkan rekod Sabah Electricity, sebanyak 13 kes kecurian kabel bervoltan sederhana 12KV dan 33KV direkodkan di sekitar DUN Karambunai pada tahun 2025.
“Daripada jumlah itu, tujuh kes berlaku di kawasan Kota Kinabalu manakala enam kes lagi di kawasan Karambunai.
“Manakala, bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 pula, sebanyak lima kes direkodkan, dengan satu kes di kawasan Kota Kinabalu dan empat kes di kawasan Karambunai,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan semasa berucap dalam Persidangan DUN Sabah ke-17, di sini pada Rabu.
Tambah Ruddy, SE telah memperkukuhkan langkah penjagaan melalui rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan berisiko, termasuk menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan.
“Bagi kawasan DUN Karambunai, dari Januari hingga Jun 2026, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif mengurangkan kejadian kecurian kabel serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di lapangan,” kongsinya.
Tambahnya lagi, SE turut mempertingkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi mempercepatkan tindakan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.
“SE akan terus memperkukuhkan usaha penjagaan meningkatkan rondaan di kawasan hotspot seperti serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan aset utiliti dan kesinambungan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
Terdahulu, Aliakbar dalam soalan tambahan turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penggunaan lampu solar di kawasan hotspot yang sering menjadi sasaran kecurian kabel, termasuk laluan dari Jalan Gentisan ke pintu masuk Pangkalan TLDM.
Menjawab cadangan itu, Ruddy berkata, kerajaan memahami kebimbangan terhadap kes kecurian kabel yang berterusan dan mengakui kejadian tersebut turut berlaku di beberapa kawasan lain.
Kongsinya, kerajaan akan mengangkat cadangan penggunaan sistem solar kepada kementerian berkaitan, namun menjelaskan bahawa di beberapa kawasan, lampu solar yang dipasang juga pernah menjadi sasaran kecurian.
Beliau juga berharap semua wakil rakyat dan masyarakat bekerjasama memantau kawasan berisiko serta segera melaporkan aktiviti mencurigakan kepada polis kerana SE tidak mempunyai kuasa untuk menangkap pihak yang mencuri.






