
KAPIT – Kesepaduan utuh antara kepimpinan negeri dan jentera perkhidmatan awam terus menjadi tunjang utama bagi memastikan setiap agenda pembangunan Sarawak dapat dinikmati oleh rakyat secara menyeluruh.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, usaha merealisasikan pelbagai dasar kerajaan itu memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh anggota perkhidmatan awam dan ketua masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan secara turun padang perlu diteruskan bagi membolehkan penjawat awam melihat sendiri keadaan di lapangan dan mengenal pasti kelemahan sistem penyampaian sedia ada.
“Apabila kita turun padang seperti ini, kita tahu di mana kelemahan kita, apa yang kurang dan apa yang perlu dipertingkatkan supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik.
“Premier Sarawak sentiasa tampil dengan pelbagai inisiatif untuk manfaat rakyat, jadi kita perlu berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Kerja Rasmi Program Sarawakku Sayang (SKS) di Rumah Rose, Nanga Sebatu pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad Abu Bakar menjelaskan bahawa Program SKS menjadi platform penting untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat dasar secara terus.
Tambahnya, program tersebut memberi ruang kepada penduduk pedalaman mendapatkan penjelasan daripada ketua-ketua jabatan mengenai kemudahan pendidikan percuma serta pelbagai bantuan kebajikan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyertaan barisan ketua jabatan dalam lawatan tersebut membuka peluang untuk mereka memahami realiti sebenar kehidupan masyarakat luar bandar dengan lebih dekat.
“Lebih banyak pembangunan fizikal termasuk projek jalan raya dan pembinaan jambatan akan dilaksanakan pada masa hadapan bagi meningkatkan jaringan perhubungan serta merancakkan ekonomi setempat,” ujarnya.






