
MIRI – Sekolah jenis Kebangsa Cina (SJKC) Krokop melakar sejarah baharu dalam usaha memperkukuh pendidikan digital apabila melancarkan Bilik Darjah Pintar (Smart Classroom) dalam satu majlis yang diadakan di sekolah tersebut pada Rabu.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Beliau menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu langkah penting dalam membawa sistem pendidikan ke arah pembelajaran yang lebih moden dan interaktif.
“Kerajaan Sarawak telah menyediakan empat set papan putih pintar bersama peranti bersepadu kepada sekolah tersebut bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kemudahan itu membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan, manakala pelajar dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa SJK(C) Krokop merupakan satu-satunya sekolah di Miri yang terpilih menyertai program Bilik Darjah Pintar tersebut, sekali gus menjadi satu pengiktirafan terhadap komitmen sekolah dalam meningkatkan mutu pendidikan.
Adam Yii berkata, sejak diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat, pembangunan pendidikan sentiasa menjadi antara keutamaan beliau.

Melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP), beliau telah berjaya mendapatkan peruntukan berjumlah lebih RM700,000 secara berperingkat bagi melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan di sekolah berkenaan.
“Antara projek yang telah dilaksanakan termasuk kerja-kerja membaik pulih bilik darjah, menaik taraf dewan sekolah, menambah baik pejabat guru dan perpustakaan, serta memperbaiki jalan dan sistem perparitan di kawasan sekolah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan atau penyediaan kemudahan fizikal, tetapi turut melibatkan usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif demi perkembangan murid secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Bilik Darjah Pintar bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, sekali gus melahirkan generasi yang berpengetahuan, celik teknologi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Guru Besar, guru-guru dan para murid sekolah tersebut.






