
KOTA KINABALU – Sebanyak RM11.8 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melibatkan keseluruhan 26 set tandas yang dilaksanakan secara berfasa.
Pengurus Kanan KKIA, Jefry Ramli berkata, perkara tersebut merupakan komitmen pihaknya bagi memastikan fasiliti serta kemudahan yang terbaik kepada pengguna-pengguna lapangan terbang.
“Tandas yang telah siap sepenuhnya adalah sebanyak 17 dan yang lain dalam proses naik taraf yang sedang berjalan.
“Kita jangkakan naik taraf ini akan siap sepenuhnya pada bulan April ataupun Mei depan dan bila siap nanti hampir keseluruhan tandas di KKIA ini akan berwajah baharu.
“Dengan adanya projek naik taraf ini, kita akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada media selepas mengiringi lawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai YB Datuk Joniston Bangkuai di KKIA, di sini pada Khamis.
Mengulas isu lantai basah dan masalah teknikal yang dibangkitkan orang awam, Jerry menjelaskan kebanyakan masalah tersebut hanya dapat dikenal pasti selepas tandas mula digunakan.
“Apabila tandas mula digunakan, barulah kita dapat melihat kelemahan sebenar, sebab setiap projek mempunyai tempoh ‘Defect Liability Period’ (DLP) selama setahun bagi membolehkan kontraktor membaiki sebarang kecacatan,” kongsinya.
Beliau turut menjelaskan kerja naik taraf tidak boleh dilakukan serentak kerana pihak pengurusan perlu memastikan kemudahan tandas sentiasa tersedia kepada pengguna.
“Kita tidak boleh tutup semua tandas pada satu masa. Biasanya hanya lima atau enam tandas ditutup serentak, menyebabkan tempoh projek menjadi lebih panjang,” jelasnya.
Menurut Jefry, pada ketika ini sebanyak 26 set tandas telah disediakan, merangkumi tandas lelaki, wanita dan OKU serta perkhidmatan pembersihan tandas 24 jam sehari dengan tiga syif — pagi, petang dan malam — melibatkan lebih 60 petugas setiap syif termasuk menjaga kebersihan kawasan lapangan terbang.





