
SEMPORNA – Mahkamah Majistret Semporna menjatuhkan hukuman terhadap sembilan tertuduh atas kesalahan memiliki dadah dalam prosiding berasingan, pada Khamis.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh, fakta kes, kekerapan kesalahan, rayuan serta kepentingan awam.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Antara yang disabitkan ialah Hussin Sakkam, 42, yang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan serta dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas tamat hukuman; Santai Salah, 44, dihukum penjara 14 bulan; Hamudin Ahmad, 33, penjara enam bulan dan Azwan Kisme, 29, 17 bulan penjara.
Turut dipenjara dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas tamat hukuman adalah Sali Bitong, 51 (11 bulan penjara), Mumul Ripaif, 33, Saniboy Juntikam, 30 tahun dan Akhtar Mohd Salleh, 29, masing-masing 10 bulan penjara serta Mohamad Ismail, 31 (lapan bulan).
Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah dalam kenyataan berkata, kejayaan ini adalah hasil siasatan rapi, komitmen berterusan serta tindakan penguatkuasaan tegas pihak polis dalam membanteras jenayah dadah di daerah berkenaan.
Katanya, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan jenayah dadah kerana ia merupakan ancaman serius kepada keselamatan, kesejahteraan sosial serta masa depan generasi muda.
Beliau turut menyeru orang ramai tagar menjauhi dadah dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah melalui QR Code Aduan Awam, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau mana-mana balai polis berhampiran.


