
KUNAK – Aduan mengenai sampah berselerak di beberapa kawasan sekitar belakang premis perniagaan termasuk pasar raya di Kunak sejak pagi Selasa mendapat perhatian apabila tindakan segera diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kunak (MDKNK) dan konsesi pembersihan.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, pihak berkaitan telah dihubungi sejurus menerima maklumat daripada orang awam.
“Apa yang dimaklumkan dua buah lori sampah mereka rosak.
“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada pihak MDKNK dan konsesi kerana pantas mengambil tindakan pembersihan walaupun dalam keadaan berpuasa, moga Allah kurniakan keberkatan buat kalian,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Pada masa sama, masyarakat Kunak turut dihargai atas keprihatinan menyalurkan maklumat berhubung isu tersebut.
Anil turut mengingatkan warga Kunak supaya tidak membuang sampah merata-rata kerana tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata.
“Kerjasama semua pihak tunjang penting dalam memastikan persekitaran daerah sentiasa bersih dan terpelihara,” ujarnya.






