
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MoF) menjelang pelaksanaan penuh penyasaran subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 30 September ini, bagi mengesan sebarang transaksi mencurigakan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan tegas menanti mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan bahan api itu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2, juta,” jelasnya dalam sidang media Sempena Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.

Armizan berkata, selain mempertingkat sistem penyampaian subsidi kepada rakyat Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI95 juga berkesan dalam menangani ketirisan subsidi bahan api yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Melalui SKPS dan BUDI95, keseluruhan transaksi penjualan dan pembelian dari peringkat syarikat minyak, stesen minyak, syarikat dan individu pengguna akan direkodkan secara digital.
“Pembelian menggunakan kad fleet dalam SKPS untuk syarikat dan menggunakan MyKad dalam BUD195 untuk individu akan direkodkan dalam sistem yang membolehkan elemen pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan.
“Ini termasuk pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang transaksi yang meragukan seperti pembelian berulang dan pembelian dalam jumlah yang tidak wajar,” katanya.
Jelasnya, ini akan menyelesaikan isu manipulasi penjualan dan pembelian di seluruh rantaian penjualan dan pembelian termasuk di stesen-stesen minyak sebagaimana modus operandi aktiviti penyeludupan dan penyelewengan yang berlaku sebelum ini.
Sementara itu, Armizan berkata, pelaksanaan rintis BUDI95 pada 27 dan 28 September ini melibatkan anggota keselamatan serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjalan lancar.
“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, pada hari kedua (28 September), seramai 27,916 pengguna di Sabah telah menikmati subsidi dengan harga pam lebih rendah iaitu RM1.99 seliter,” ujarnya.








