
IPOH – Kerajaan Negeri Perak menegaskan Belanjawan Negeri 2026 yang sedang digubal berteraskan prinsip ‘rakyat didahulukan’, dengan memastikan setiap keperluan dan aspirasi penduduk negeri diambil kira secara menyeluruh.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan inklusif itu dilaksanakan melalui sesi libat urus meluas yang dijalankan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) membabitkan lebih 4,000 responden daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Belanjawan 2026 bukan sahaja melibatkan angka dan projek pembangunan, tetapi turut menumpukan kepada aspek kebajikan, pendidikan serta pembasmian kemiskinan bagi menjamin kesejahteraan rakyat Perak.
“Semua input yang dikumpul IDR akan menjadi panduan utama kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ketujuh 2025 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh, pada Isnin.

Saarani berkata, golongan yang terlibat dalam sesi libat urus termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), organisasi bukan kerajaan (NGO), badan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), guru, pelajar sekolah dan ibu bapa bagi memastikan suara rakyat benar-benar didengar.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui IDR juga akan mengadakan sesi dialog belanjawan bersama agensi kerajaan, ketua jabatan serta wakil rakyat termasuk pembangkang bagi memperkukuh input sebelum pembentangan rasmi dibuat.
“Pelbagai usaha libat urus ini dilaksanakan agar Belanjawan Negeri 2026 benar-benar mencerminkan suara dan keperluan rakyat,” katanya.
Belanjawan Negeri Perak 2026 dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hujung tahun ini.
Sebelum ini, Perak meluluskan Belanjawan Negeri 2025 berjumlah RM1.52 bilion, iaitu belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri dengan perbelanjaan mengurus RM981.8 juta dan pembangunan RM538 juta.






