
PENGKALAN BATU – Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan bukan noktah kepada khidmat Setiausaha Agung DAP itu, sebaliknya beliau akan terus memainkan peranan memperkukuh parti dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, keputusan Anthony berundur daripada Kabinet dihormati dan mendapat sokongan kepemimpinan DAP kerana mencerminkan pendirian parti menolak segala bentuk rasuah serta perkara yang boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan.
Katanya, keputusan itu juga dibuat secara bersama menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebelum ini.
“Keputusan beliau itu adalah keputusan bersama kami dalam mesyuarat CEC yang diadakan sebelum ini. Kami sangat menghormati keputusan beliau mengambil tanggungjawab sebagai ketua parti untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet sebagai tanda bahawa kita menolak segala bentuk rasuah dan perkara yang memberikan kesan buruk kepada kerajaan atau pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui pada program Kopilih Harapan di sini, malam tadi.
Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, susulan perkembangan berkaitan isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP sebelum ini menyatakan keputusan itu sebagai sebahagian daripada pendirian parti berhubung isu berkenaan.
Young Shefura berkata, meskipun Anthony tidak lagi menganggotai Kabinet, DAP masih mempunyai barisan menteri yang akan terus bekerja keras melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan janji di kementerian masing-masing.
Katanya, Anthony pula akan meneruskan gerak kerja sebagai ketua parti di peringkat akar umbi bagi membantu DAP dan PH mendapatkan semula sokongan rakyat.
“Walaupun beliau tidak lagi berada dalam Kabinet, kita masih ada menteri-menteri lain daripada parti DAP yang akan terus bekerja keras menunaikan janji mereka di setiap kementerian masing-masing.
“Sebagai ketua parti, beliau pastinya akan meneruskan gerak kerja di peringkat akar umbi dan kita masih ada untuk parti serta Pakatan Harapan bagi terus meraih dan mendapatkan kembali sokongan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Young Syefura menyeru rakyat dan pengundi di Melaka supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Jelasnya, setiap undi amat bermakna dalam menentukan masa depan negeri itu dan pengundi perlu membuat pilihan dengan bijaksana.
“Selamat mengundi dan undilah dengan baik serta bijaksana. Ingat, Melaka ini rumah kita,” katanya.



