CHENG – Biarpun belum bergelar wakil rakyat, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Haryani Mohd Nasir sudah pun mendekati petani dalam memastikan keluhan golongan itu tidak dipandang sepi.
Bagi petani tebu, Mohd Zamri Zakaria, 45, kesudian Farzana meluangkan masa mengunjungi kebunnya sebelum bergelar calon memberi peluang kepada pemimpin muda itu melihat sendiri keadaan serta cabaran yang dihadapi pengusaha pertanian kecil.
Menurut beliau, sikap dan pendekatan Farzana yang turun padang walaupun tidak bergelar seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempamerkan sikap amanah dan bertanggungjawab dan tidak hadir hanya ketika berkempen pada musim pilihan raya
“Setakat ini hanya Farzana yang datang melawat, tengok suasana kita dan mendengar permasalahan yang dihadapi kebun kita serta mengambil pendekatan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh petani kecil.
“Alhamdulillah, kita harap dia akan terus berjaya selain kita harap dia dapat membantu kita, pekebun kecil bagi memastikan tiada lagi yang kecewa sehingga mahu keluar daripada bidang pertanian,” katanya The Malaysia Press (TMP),, pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Zamri mengharapkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti kelompangan yang berlaku dalam memperkasa nasib pekebun kecil, khususnya membabitkan bantuan input pertanian dan pemantauan berkala oleh agensi kerajaan.
Katanya, bantuan kerajaan perlu merangkumi semua jenis tanaman dan tidak hanya tertumpu kepada pengusaha pertanian berskala besar kerana pekebun kecil juga memerlukan sokongan untuk memastikan sumber pendapatan mereka dapat diteruskan.
“Kita harap ah kerajaan dapat bantulah pekebun kecil yang kategori B40, tak kiralah tanam tanaman apa pun. Agensi berkaitan tolong kerap datang, tengok bentuk bantuan apa kita perlukan seperti baja dan racun.
“Pada menarik minat anak muda, kalau ada tanah kosong, boleh dirizabkan untuk mereka. Apa jenis tanaman merema boleh tentukan namun untuk kos permulaan modal, hasil dan keuntungan, perlu ada bantuan daripada kerajaan,” katanya.

