Gambar hiasan
KUANTAN – Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas dipercayai memperoleh upah kira-kira RM2,000 seminggu hasil kira-kira 40 transaksi penghantaran dadah di daerah ini.
Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta dan sebuah apartmen, kira-kira jam 7.50 malam, 7 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lima bungkusan plastik mengandungi kira-kira 29 paket kecil serbuk disyaki MDMA seberat 1,155.30 gram.
“Soal siasat kemudian membawa polis ke sebuah apartmen yang turut digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah dan kediaman suspek,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Di apartmen berkenaan, polis menemukan 38 paket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 41.94 gram, tiga paket pil ekstasi seberat 8.98 gram, lima biji pil Erimin 5 seberat 1.37 gram serta 114 paket plastik mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 5,472.26 gram, selain beberapa kotak dan botol minuman mengandungi cecair disyaki MDMA.
Keseluruhan rampasan seberat 48,329.85 gram itu dianggarkan bernilai RM711,452.20 dan berpotensi menjejaskan 29,207 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.
Polis turut menyita sebuah kenderaan milik suspek dianggarkan bernilai RM20,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta RM731,452.20.
Azry Akmar berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu dan menerima arahan menerusi aplikasi Telegram dan WeChat tanpa pernah bersemuka dengan pembekal.
“Setiap hantaran dibayar RM50 satu transaksi dan suspek boleh melakukan kira-kira 40 transaksi seminggu, sekali gus memperoleh upah sekitar RM2,000,” katanya.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah.
Suspek direman tujuh hari bermula 8 hingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah (Pelucuthakan Harta) 1988.



