
PENGKALAN BATU – Permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Tinggi berhubung perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak penting bagi memastikan kepastian undang-undang dalam pelaksanaan hukuman bekas Perdana Menteri itu.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, tindakan mendapatkan klarifikasi itu terbukti wajar apabila mahkamah akhirnya mengetepikan perintah bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu.
Menurutnya, langkah AGC itu menunjukkan terdapat persoalan dari sudut perundangan terhadap perintah asal yang perlu diperjelaskan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.
“Keputusan mahkamah mengenepikan perintah pada 6 November itu dan mengeluarkan perintah baharu menunjukkan bahawa tindakan AGC mendapatkan klarifikasi adalah tepat. Kalau tiada masalah, mahkamah tidak akan mengenepikannya.
“Tindakan AGC itu bukanlah bertujuan mempertikaikan titah atau pengampunan, sebaliknya semata-mata untuk mendapatkan kepastian dari segi undang-undang terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Kopilih Harapan di sini, malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Syahredzan berkata, pendekatan berhati-hati menerusi saluran undang-undang itu penting memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi, membabitkan jumlah kewangan yang besar, individu yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri serta mendapat perhatian antarabangsa.
“Kita perlu pastikan semua aspek diambil kira (all bases are covered) dan terdapat kepastian dalam perintah mahkamah supaya jelas apa yang akan berlaku selepas selesai hukuman kes SRC, termasuk keperluan memulakan hukuman bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Terdahulu, AGC pada Selasa, memfailkan permohonan mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Tinggi berhubung perintah tahanan rumah Najib bagi memastikan kepastian undang-undang terhadap pelaksanaan perintah berkenaan.
Mahkamah Tinggi pada hari sama mengetepikan perintah terdahulu bertarikh 6 November dan menggantikannya dengan perintah baharu.


