
PENGKALAN BATU – Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat, khususnya memastikan Belanjawan 2027 diluluskan, berbanding tergesa-gesa membincangkan pembubaran Parlimen.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, ketika ini tumpuan semua pihak sewajarnya diberikan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung sehingga hujung minggu ini, selain perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, masih banyak urusan pentadbiran dan kepentingan rakyat perlu diberikan perhatian sebelum sebarang keputusan besar membabitkan kedudukan Parlimen dibuat.
“Jadi bagi saya, adalah lebih baik kita fokus kepada apa yang sedang kita lakukan sekarang dan tidak tergesa-gesa untuk membuat perubahan Parlimen dan sebagainya.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan kelangsungan Parlimen Malaysia dan juga Kabinet beliau kerana paling penting adalah memastikan Belanjawan 2027 diluluskan dan membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) selepas menghadiri program Kopilih Harapan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di sini.
Young Syefura mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan pembubaran Parlimen lebih baik berbanding rombakan Kabinet ketika ini bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.
Mengulas kemungkinan rombakan Kabinet, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi masalah sekiranya diperlukan, namun setiap menteri perlu memastikan tanggungjawab diberikan dilaksanakan sebaik mungkin.
Katanya, keberkesanan setiap kementerian menjalankan fungsi masing-masing perlu menjadi keutamaan bagi memastikan pentadbiran kerajaan terus berjalan lancar.
Beliau turut menegaskan Ahli Parlimen ‘Backbenchers’ akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal atau mengikut keperluan semasa.
“Yang paling penting adalah kerajaan ini terus bertindak sebagai sebuah kerajaan dan berfungsi dengan baik bagi memastikan kelangsungan serta keperluan dan kehendak masyarakat, khususnya rakyat, dipenuhi dan ditunaikan dengan baik,” katanya.



